Q&A : Perintah kes nafkah, hadanah tak boleh digantung

Bookmark and Share

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip
http://peguamsyarie.blogspot.com

Perayu mesti patuhi arahan pelaksanaan bagi memastikan hak anak belum mumayyiz terpelihara

MERUJUK peruntukan undang-undang syariah, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati terhadap suatu penghakiman mahkamah sama ada keseluruhan atau sebahagian penghakiman itu boleh merayu kepada mahkamah lebih tinggi dengan memasukkan notis rayuan dalam 14 hari dari tarikh penghakiman dikeluarkan.

Ini bermaksud, jika kes itu diputuskan di Mahkamah Rendah Syariah, pihak tidak berpuas hati boleh merayu kepada Mahkamah Tinggi Syariah dan jika tidak berpuas hati pada peringkat Mahkamah Tinggi Syariah, boleh membuat rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah di negeri di mana penghakiman dikeluarkan.

Seksyen 139 (3) dan (4) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan: "Seseorang perayu boleh merayu terhadap keseluruhan atau mana-mana bahagian daripada sesuatu keputusan."

Notis rayuan hendaklah difailkan dalam 14 hari dari tarikh keputusan diumumkan dan hendaklah menyatakan sama ada keseluruhan, sebahagian saja atau bahagian yang mana, keputusan itu hendak dirayu."

Namun begitu, jika pihak yang membuat rayuan berhasrat untuk menggantung pelaksanaan perintah itu, pihak yang merayu boleh membuat permohonan ke mahkamah yang mengeluarkan penghakiman untuk menggantung pelaksanaan penghakiman sementara menanti rayuan diputuskan.

Contohnya, jika bekas suami diperintahkan mahkamah membayar sejumlah wang sebagai bayaran mutaah kepada bekas isterinya dan lelaki itu tidak berpuas hati dengan kadar bayaran diputuskan mahkamah, dia boleh memohon kepada mahkamah untuk menggantung pelaksanaan pembayaran mutaah sehingga mahkamah lebih tinggi memutuskan rayuan berkaitan jumlah yang perlu dibayar.

Memfailkan notis rayuan tanpa membuat permohonan penggantungan pelaksanaan perintah di mahkamah yang mengeluarkan perintah mengikut prosedur ditetapkan tidak akan menggantung pelaksanaan perintah itu.

Dengan hanya memasukkan notis rayuan tanpa membuat permohonan penggantungan ke mahkamah dan diluluskan oleh mahkamah, penggantungan tidak akan berlaku secara automatik.

Hakim berkuasa untuk membenarkan pergantungan permohonan pihak yang merayu atas alasan mencukupi. Seksyen 144 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan: "Pemfailan suatu notis rayuan tidaklah berkuat kuasa sebagai penggantungan pelaksanaan, tetapi mahkamah boleh, atas permohonan dan apabila sebab mencukupi ditunjukkan, menggantung pelaksanaan atas apa-apa terma yang difikirkannya patut."

Namun, bukan semua kes akan dibenarkan penggantungan pelaksanaan oleh mahkamah sementara menanti rayuan diputuskan mahkamah lebih tinggi. Berdasarkan Arahan Amalan no. 1 tahun 2005 yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menyatakan: "�telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan mengenai perayu membuat rayuan dengan alasan tidak berpuas hati keputusan mahkamah yang dirayu dalam kes mal, menurut hukum syarak adalah memadai untuk menggantung pelaksanaan perintah sementara menunggu keputusan rayuan dan rujukan hendaklah dibuat kepada mana-mana kes yang sudah diputuskan oleh mahkamah lebih tinggi kecuali dalam kes nafkah, upah menyusu, tempat tinggal, hadanah dan serah anak yang belum mumayyiz kepada ibu."

Arahan amalan jelas menyatakan tidak semua kes boleh dibenarkan untuk digantung pelaksanaan sementara menanti kes rayuan diputuskan. Mengikut hukum syarak, kes seperti nafkah, upah menyusu, tempat tinggal, hadanah dan serah anak yang belum mumayyiz kepada ibu tidak dibenarkan untuk digantung pelaksanaannya.

Jika penggantungan dibenarkan, sudah tentu akan memberi kesan kepada pihak suatu lagi dan kepada anak masih kecil, terutama soal berkaitan hadanah atau hak penjagaan anak yang belum mumayyiz.

Bagi kes membabitkan nafkah anak, jika penghakiman sudah dikeluarkan mahkamah memerintahkan bapa membayar sejumlah nafkah anak dan rayuan dibuat ke mahkamah oleh bapa kerana tidak berpuas hati dengan keputusan bersama permohonan penggantungan pelaksanaan perintah.

Jika permohonan penggantungan pelaksanaan bapa tadi sebagai perayu dibenarkan sudah tentu akan menafikan hak anak mendapatkan nafkah daripada bapanya sementara menunggu keputusan rayuan di mahkamah lebih tinggi.

Justeru, panduan yang sudah diberikan melalui Arahan Amalan berkaitan penggantungan pelaksanaan perintah sementara menanti rayuan diputuskan adalah wajar dipatuhi kerana ia selari hukum syarak. Prinsip keadilan dalam Islam akan lebih terpancar jika pihak terbabit mengetahui undang-undang serta mendalami hukum syarak.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

Sumber : BHarian 2009/04/22

{ 0 komentar... Views All / Send Comment! }

Poskan Komentar